Assalamu’alaikum buat anakku yang dikasihi,
Alhamdulillah, Allah menguji ayah di saat ayah masih bertatih dalam dunia perubatan Islam. Betapa ilmu ini memerlukan praktikal yang lebih berbanding lulus semata-mata. Setelah ayah selesai tasmi’ di hadapan ustaz Rahman (darussyifa’), dimaklumkan ayah lulus ujian dan Insya Allah akan diijazahkan oleh Tuan Guru Haron Din, pengasas Darussyifa’ Malaysia, pada 19hb Disember 2008, Insya Allah.
Baru sebentar tadi ayah dan sahabat seguru menjalankan ‘praktikal’. Pada sebelah paginya, sempat dijemput ‘memagar rumah’ dan sebelah malamnya plak, sempat ‘praktikal’ di asrama plak. Dengan 2 aktiviti ini, ayah rasa ‘letih’ dan tak bermaya rasanya. Ayah tak dapat bayangkan bertapa letihnya Tuan Guru Haron Din yang mengubat seramai lebih kurang 200 orang setiap hari selasa di bangi….
Anakku, letih akan rasa hilang ’skit’ ketika melihat yang diubati segera sembuh.. Rasa puas yang tidak terhingga. Keyakinan semakin mantap setiap kali melalui ‘jalan praktikal’ ini. Lebih-lebih lagi bila ayah ‘praktikal’ dengan kalian bertiga, termasuk ibu kalian yang solehah. Seketika ayah termenung, bagaimana ini boleh berlaku dan siapakah yang ‘menyembuhkannya’… ubat tak makan pun. Hanya berbekalkan keyakinan bahawa Allah yang menyembuhkan dan redha atasNya yang menentukan, disamping ‘teknik’ yang dipelajari melalui Darussyifa’.
Anakku, melalui ‘praktikal’ ini, Allah ‘membisikan’ pada ayah bahawa Allah lah yang menyembuhkan segala penyakit dengan kekuasaanNya. Manusia hanya mampu berusaha berikhtiar. Allah yang mengakhirinya dan Allah lah tempat sebenar perlindungan. Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Allah yang memberi ‘jalan’ yang perlu dilalui. Allah yang membina kekuatan dalam diri kita. Allah lah melindungi kita. Justeru anakku, ingatlah Allah sepanjang hayatmu. Dan binalah keyakinan dan redha pada Allah atas segala sesuatu yang berlaku. Insya Allah, Allah akan sentiasa ‘menyapa’ dan bersama kalian.
Anakku, ketika ayah ’sedang berbicara’ di laman ini, kalian sedang tidur nyenyak termasuk isteri ayah yang tercinta. Isteri ayah adalah ibu kalian yang sentiasa tabah dengan karenah kalian di kala ayah ‘hilang punca’. Anakku, jagalah ibu kalian ketika ayah tidak bersama kalian. Ingatlah anakku, syurga di bawah telapak kaki ibu mempunyai rahsia yang amat tinggi. Fahami dan hayatilah akan rahsianya. Insya Allah, Allah akan melindungi kalian dunia dan akhirat…
11.55pm. 16NOV2008




Komen Terkini